Ahad, 26 Mei 2013

PostHeaderIcon IFTAR JAMA'IE REJAB 6 REJAB 1434H BERSAMAAN 16 MEI 2013

Salamun alaik,
Rasa lama dah tak buat iftar jama'ie(majlis buka puasa). Bila tiba bulan Rejab ni datang idea untuk buat iftar. Lagipun pelajar suka puasa ramai-ramai. Boleh suruh yang belum qadha puasa mula qadha. Maka pada malam Isnin ari tu, dalam kuliahku macam biasa aku buat iklan iftar. Bersemangat pelajar. Konon! Aku siap bagitahu duit ada banyak untuk majlis iftar padahal aku sendiri tak pasti berapa baki daripada majlis iftar yang terakhir.

Bila dapat senarai nama yang mahu puasa terkejut gak. Dekat 200 orang semuanya. Semangat betul. Tapi aku tahu tak semua yang bagi nama akan puasa. Macam-macam alasan mereka nanti. Takpa. Yang penting azam. Lalu aku buka sampul duit iftar. Terkejut hamba Allah ini bila tengok duit tinggal rm40 sahaja. Nak makan apa budak-budak ni. Idea!!!

Aku jumpa Cikgu Erna, daripada bahagian kebajikan. Minta dia mohon sumbangan daripada rakan guru. Biasanya dapatla dalam rm200 daripada guru-guru yang cukup pemurah ni. Aku iklankan di fb. Mulalah derma masuk mencurah-curah. Daripada asalnya rm40, kami berjaya kumpul dekat rm700. Alhamdulillah. Rezeki pelajar.

Aku mula tempah makanan. Cari yang sedap sikit sebab duit banyak ni.hehe. Cendol, satay, gulai ayam yang dicecah roti. Oh sedapnya bila dibayangkan masa puasa! Mula-mula tempah satay rm40 saja.Cadangnya 2 pelajar kongsi 1 cucuk satay. Takut tak cukup duit. Dekat pelajar boleh bagitahu supaya belajar makan sikit tapi bila duit derma mencurah-curah, aku tambah lagi tempahan sampaikan sorang pelajar dapat 2 cucuk satay. Kira banyak dah tu dengan kekurangan kami di pedalaman ni.

Tiba hari iftar. Nampak ramai gak yang puasa terutama muslimat. Cara nak tengok jumlah yang puasa senang je. Tengok je berapa ramai yang tidur di surau lepas zohor. Balik sekolah pukul 430, terus aku ajak 2 pelajar bersama-sama ambil satay dan beli ais di pasar malam. Sampai di surau ramai sudah yang menunggu untuk tolong siapkan juadah. Kami hidang dalam talam. Belajar makan cara sunnah. Cg Erna datang hantar cendol lepas tu 3 bekas besar. Ohhh sedapnya. Terus aku cedok simpan satu mangkuk untuk diri sendiri. Tahu dah bila pelajar mula ambil mesti cepat habis.

Dua puluh minit sebelum Maghrib(utk makluman kami masuk Maghrib 6.24pm) gulai ayam belum masak sedangkan janjinya jam 530. Dah 3 kali aku hantar pelajar ke kantin untuk ambil tapi belum gak masak. Takleh jadi ni. Aku pergi sendiri. Baru masak katanya. Heii bikin panas. Kita dah dekat berbuka. Nasib baik kakak kantin tu bagi ayam lebih. Sejuk gak hati ni. Muslimat pulak bagitahu diaorang tak cukup 1 talam padahal aku dah kira betul-betul. Hisy sapa pulak yang tak puasa datang nih. Biarlah. Aku ikhtiarkan sampai dapat buka 1 lagi talam. Culik je makanan dari mana-mana talam. Sikit sikit lama-lama membukit.

Masuk je waktu Maghrib, semua dengan tak sabar menyantap hidangan di depan mata dan sungguh tidak kusangka dalam masa 5 minit, licin talam mereka kerjakan. Hidangannya bukan calang-calang. Roti sandwich panjang 1 bungkus, satay 12 cucuk, kuah satay 1 mangkuk dan gulai ayam 1 mangkuk. Cuba korang bayangkan camna budak-budak tu makan. Tapi aku rasa puas hati sangat tengok diaorang makan. Untuk makluman aku balik sekolah ari tu pukul 8.30 malam dari 7.30 pagi tadi. Ni rekod baru guru paling rajin.(perasan!!!)

Namun aku bersyukur ke hadrat ilahi di atas rezekinya. terima kasih kepada kawan-kawan yang begitu pemurah sampaikan kami bukan sekadar buat jamuan iftar malah ada moreh lagi lepas Isya'. Kemudian baki duit masih cukup untuk aku beli kuih bagi majlis bacaan Yasin pada keesokan harinya. Alangkah indahnya berbuka beramai-ramai sambil menghidupkan sunnah. makan dalam talam yang susah untuk kita praktikkan zaman sekarang. Yang aku pasti aku akan rindu semua ini bila aku lanjutkan pelajaran bulan September nanti!

Syukran jazilan
Amalan sunnah
Muslimat
Jumaat, 24 Mei 2013

PostHeaderIcon KISAH HIJRAH ABU SALAMAH r.a KE MADINAH

Diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.a apabila Abu Salamah r.a selesai menyediakan keperluan untuk hijrah, beliau membawaku dan anak kami menaiki unta. Apabila Bani Mughirah (kabilah Ummu Salamah) mendapat tahu tentang hijrah tersebut, mereka menyekat Abu Salamah dan keluarganya.

Kata pemuka Bani Mughirah kepada Abu Salamah,"Adakah kamu mahu melarikan wanita dari  kabilah kami?" Mereka merentap tali unta dan melarikan Ummu Salamah ke perkampungan mereka. Peristiwa ini diketahui oleh Bani Abd Asad(kabilah Abu Salamah). Berkata pemuka mereka;"Kita tidak patut membiarkan keturunan kita(anak Abu Salamah) diculik oleh Bani Mughirah," lalu mereka bergegas ke tempat itu dan cuba merampas bayi yang masih kecil itu daripada Bani Mughirah. Perebutan berlaku antara dua kabilah tersebut bila mereka saling menarik tangan bayi yang masih kecil itu hingga Bani Abd Asad berjaya.

Kata Ummu Salamah,"Berpecahlah keluarga kami bila aku dibawa ke perkampungan Bani Mughirah, anakku(Salamah) ke perkampungan Bani Asad sementara suamiku meneruskan perjalanan ke Madinah. Setiap hari aku keluar ke kawasan padang pasir mengenangkan nasib kami sekeluarga. Aku berterusan menangis selama setahun lamanya. Hinggalah pada satu hari seorang lelaki dari kaumku melihat aku dan merasa kasihan padaku."

Lelaki tersebut memujuk kaumku agar melepaskan aku lalu mereka bersetuju. Sementara itu Bani Abd Asad juga telah mengembalikan anakku. Aku menyediakan kenderaan untuk berhijrah ke Madinah dan berangkat bersama anakku. Tidak ada seorangpun menemani kami dalam hijrah yang begitu jauh. Hingga kami sampai di Tan'im, kami bertemu dengan Uthman Bin Abu Talhah yang belum memeluk Islam. 

Beliau telah menemani kami dan beliau adalah lelaki paling mulia yang pernah aku temui. Sepanjang perjalanan beliau mengenderai unta kami. Apabila singgah di perjalanan beliau akan mendudukkan unta dan beredar hingga kami turun. Kemudian beliau akan menuntun unta ke bawah pokok dan mengikatnya di sana. Begitu juga beliau lakukan apabila kami memulakan perjalanan kembali. Hinggalah kami sampai ke perkampungan Bani Amru Bin Auf di Quba'. Beliau menyuruh aku meneruskan perjalanan kerana suamiku ada di perkampungan  tersebut. Aku meneruskan hingga aku sampai ke kampung tersebut dengan keberkatan daripada Allah sementara Uthman balik semula ke Mekah.

Ummu Salamah berkata,"Aku tidak pernah mengetahui satu keluarga yang diuji begitu berat seperti yang menimpa keluargaku dan aku tidak mengenali teman yang paling mulia dalam perjalanan selain daripada Uthman Bin Abu Talhah."

Dipetik dari Hayatus Sahabah karangan Maulana Muhammad Yusuf Kahdahlawi


Khamis, 23 Mei 2013

PostHeaderIcon KERJA RUMAH CUTI PERTENGAHAN SEMESTER

Jawab semua soalan! Dengan ikhlas yee


1   1.   Apakah yang dimaksudkan dengan korban?                                                        2 markah
2       2.Nyatakan 3 syarat sah korban.                                                                           3 markah
3       3.Jelaskan cara mengagihkan dagin korban mengikut syara’.                                   2 markah
4       4.Jelaskan hukum sembelihan.                                                                                2 markah
5       5.Nyatakan hukum dan alasan bagi situasi berikut
i.En. Ahmad telah menyembelih seekor kambing ketika berihram haji.

ii.En. Yusuf menyembelih seekor ayam tanpa membaca bismillah.                           4 markah

6.Nyatakan fungsi kuttab yang didirikan di sekitar masjid pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin.
                                                                                                                             1 markah
7.Jelaskan sebab terhentinya peluasan Negara Islam semasa pemerintahan Saidina Ali Bin Abi Talib.
                                                                                                                              2 markah
8.Jelaskan dua usaha kerajaan Bani Umayyah untuk mengukuhkan sector pertanian dan perdagangan.                                                                                                                                  4 markah
9.Nyatakan dua sumbangan atau karya Imam Ghazali rahimahullah.                         2 markah
10.Jelaskan keunggulan kitab Sahih Bukhari karangan Imam al-Bukhari.                  2 markah

Ingat!!! Man jadda wajada
Jumaat, 17 Mei 2013

PostHeaderIcon Perjalanan Hajiku 2006

Kelana Jaya


PERJALANAN HAJI : MANIFESTASI IBADAH SEORANG HAMBA

            Semuanya bermula pertengahan tahun 2005. Hidayah Allah, itulah dia. Hati terasa tidak sabar-sabar untuk menunaikan rukun Islam yang kelima iaitu haji. Malangnya hajat untuk pergi pada tahun tersebut gagal. Akhirnya panggilan yang diterima selepas Idilfitri 2006 mengesahkan pemergian kami. Aku bersama isteriku yang tersayang. Kaabah, nantikan kedatangan kami. Rasulullah, rindu ini sudah tidak tertahan lagi untuk menziarahimu.

            Tanggal 4 Disember 2006, tarikh kami bertolak dari Kota Bharu, Kelantan. Barang dibawa ala kadar takut melebihi timbangan tapi penuh jugalah kedua-dua beg campur lagi beg galas. Tak sangka ramai pula yang menghantar di lapangan terbang. Yang menghairankan cuma kami berdua sahaja jemaah haji yang menaiki penerbangan tersebut. Rupanya jemaah lain sudah bertolak ke Kuala Lumpur awal pagi lagi. Sedih rasanya nak berpisah dengan keluarga kerana musafir kami bukanlah musafir biasa tapi musafir ibadah kemuncak dalam rukun Islam. Siapa tahu mungkin ajal kami di sana.
Masjid Jaaranah
Masjid Nabawi

Masjid Nabawi

Masjid Quba'




            Tiba di KLIA seusai jam 9 malam. Disambut petugas Tabung Haji untuk dibawa ke Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya tapi kami terpaksa menunggu hingga 10.30 malam kerana ada beg jemaah yang belum sampai. Awal-awal lagi dah terasa mencabar tapi tidak mengapa, kerana Allah kita mesti berkorban segala-galanya. 11.30 malam sampai di Kelana Jaya. Orang begitu ramai. Sanak saudara yang menghantar tiga kali ganda daripada bilangan jemaah. Kami yang tiada sesiapa di situ mencari-cari kaunter pendaftaran sambil mengheret beg. Banyak pulak hadiah percuma diberi semasa mendaftar terutama air mineral. Separuhnya aku tinggalkan sahaja di situ. Urusan check in dilakukan di Kelana Jaya. Alhamdulillah semuanya mudah walaupun tangkai begku patah.

            Nombor penerbangan kami KT 37 seramai lebih kurang 400 jemaah. Kami dibawa pada jam 2 pagi ke KLIA untuk menaiki kapalterbang diiringi polis peronda. Rasa macam orang besar-besar pulak. Tertidur sekejap di atas bas. Penat tak payah cerita. Penerbangan kami pukul 4 pagi terus ke Madinah al-Munawwarah. KLIA yang biasanya sibuk,  lengang semasa kami sampai. Hati ini tidak sabar-sabar mahu menjejakkan kaki ke Madinah, bumi di mana dimaqamkan jasad Rasulullah s.a.w. Keadaan dalam kapalterbang agak kurang selesa. Dengan ruang duduk yang sempit, lebih-lebih lagi badanku yang terlebih kilo ini agak kurang selesa. Selama 8 jam penerbangan kami langsung tidak tidak berganjak dari tempat duduk. Entah berapa kali tertidur dan terjaga hinggakan rasa tidak mahu lagi naik kapalterbang selepas ini. Tapi tu eksyen saja sebab datang Sabah pun kena naik kapalterbang juga.

            Jam 8.30 pagi waktu Arab Saudi, kapalterbang mendarat di Madinah. Alhamdulillah, akhirnya kami sampai di bumi tercinta ini. Urusan imigresen berjalan lancar. Rasa nak buang air sedari atas kapalterbang hilang bila menjejakkan kaki di bumi Madinah. Suhu ketika itu 15 darjah celcius. Sangat sejuk. Kami dibawa ke bandar Madinah yang merupakan tanah haram bagi orang bukan Islam dengan bas. Sampai di bandar, mataku mencari-cari kubah hijau Masjid Nabawi. Di bawahnya dikuburkan jasad paling mulia iaitu nabi Muhammad s.a.w. Hati terasa pilu dan sayu bila kubah hijau kelihatan di mata. Ya Rasulullah aku datang menziarahimu. Selawat dan salam ke atasmu. Syafaatilah daku di mahsyar nanti. Linangan air mata tidak tertahan lagi. Pada masa itu juga aku rasa ingin ke maqam baginda. Tapi urusan penginapan perlu diselesaikan. Hotel Anwar Movenpick (5 bintang) menanti kami tapi bukan itu tujuan kami. Sebilik 4 orang bersama abang-abang yang baru kukenali hari itu tapi rasanya macam dah lama mengenali mereka. Inilah hikmah ukhuwwah Islamiyah. Isteriku ditempatkan di bilik sebelah.

            Jarak hotel dengan Masjid Nabawi lebih kurang dua minit berjalan kaki. Lautan manusia berpusu-pusu ke masjid untuk solat Zohor  sejam sebelum masuk waktu dan ini boleh dilihat setiap waktu solat. Subhanallah! Inilah suasana umat Islam yang sebenar. Kalau kat Malaysia, lepas azan baru nak bergerak ke masjid.  Melangkah kaki ke dalam Masjid Nabawi, hati terasa cukup tenang, jiwa bergolak aman, nafas dihembus penuh keberkatan. Inilah tempat di mana Rasulullah s.a.w dan sahabat baginda yang telah dijamin syurga menunaikan solat. Bersujud di dalamnya, aku rasakan macam tidak mahu bangkit-bangkit lagi. Ya Allah, banyaknya dosaku, lalainya aku namun aku bersyukur dapat sujud di masjid yang mulia ini. Selepas Asar aku mengikut abang sebilikku menziarahi maqam Rasulullah s.a.w. Sepatutnya jadual ziarah kami keesokan hari tapi kerana rindu yang tidak tertahan lagi, kami beranikan pergi sendiri. Bertolak-tolak, berhimpit-himpit dan berebut-rebut manusia seluruh pelusuk alam ingin mempersembahkan kerinduan mereka pada Rasulullah s.a.w. Assalamualaika ayyuha Nabiyyul karim. Salam dilafaz, hati diserah bulat-bulat, rindu dan kasih padamu ya Rasulullah. Kalau boleh ingin aku berdiri di hadapan maqam baginda berlama-lama tapi situasi tidak mengizinkan. Selepas itu aku menziarahi maqam Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar al-Khattab bersebelahan maqam Rasulullah.

            Hari kedua di Madinah al-Munawwarah, kami dibawa menziarahi Masjid Nabawi. Terngiang-ngiang di telinga seolah mendengar suara para sahabat membaca al-Quran di dalam masjid. Aku cuba memasuki raudhah. Sabda Rasulullah s.a.w : “Apa yang berada di tengah-tengah antara rumahku dan mimbarku ialah taman (raudhah) daripada taman-taman syurga. Berasak-asak umat Islam di raudhah menyebabkan aku mambatalkan niatku. Pada malam itu selepas Isya’, aku pergi lagi ke raudhah. Barulah aku dapat menjejakinya. Aku bersujud di celah-celah umat Islam pelbagai bangsa. Biar terhimpit begitu sekali, hati merasa puas kerana dapat di sujud di taman syurga. Ya Allah golongkan aku sebagai penghuni syurga di akhirat nanti agar dapat ku sujud di taman syurga yang hakiki.

            Pada hari kelima kami dibawa menziarahi tempat-tempat bersejarah sekitar Madinah. Menziarahi Masjid Quba’, Jabal Uhud dan Masjid Qiblatain mengembalikan nostalgia perjuangan Rasulullah dan para sahabat memperjuangkan Islam. Mampukah umat hari ini berjuang seperti mereka? Badanku merasa kurang sihat dengan perubahan cuaca begitu mendadak tapi alhamdulillah ia tidak melarat. Mengisi hari-hari di Madinah, kami istiqamah beribadat di Masjid Nabawi. Siapa mahu lepaskan peluang beribadat di masjid yang sekali solat pahalanya seribu kali digandakan. Hari kesembilan, hari terakhir kami di bumi Madinah. Lepas ni kami akan berangkat ke Mekah al-Mukarramah untuk mengerjakan haji dan umrah. Sebelum berangkat, kami melakukan ziarah wada’. Ya Rasulullah hati ini tidak mahu meninggalkanmu. Entah bila lagi kami berkesermpatan menziarahimu. Semoga Allah memberi kesempatan kepada kami lagi. Amin ya rabbal aalamin.

            Memakai ihram umrah yang merupakan dua helai kain tidak berjahit bagi lelaki, kami meneruskan kembara ibadah ke Mekah. Selepas Zohor bertolak dan singgah di Bir Ali untuk niat umrah. Perjalanan merentasi padang pasir selama 8 jam menginsafkan kami penderitaan hijrah Rasulullah s.a.w dan para sahabat untuk menyelamatkan agama. Keadaan bas yang kurang selesa menginsafkan kami bahawa kita hanyalah hamba yang kerdil. Tengah malam, kami tiba di Mekah. Sekali lagi hatiku meronta-ronta mencari Masjidil Haram dan Kaabah. Kiblat umat Islam seluruh dunia. Sayangnya kerana ini kali pertama kedatanganku, maka aku tidak kenal Masjidil Haram yang menjadi tumpuan umat Islam seluruh dunia setiap masa. Ketika kami sampai iaitu pukul 1 pagi, kelihatan umat Islam berpusu-pusu menuju ke masjid. Subhanallah, Maha Agung ya Allah. Di mana dapat dicari tempat ibadat yang hidup 24 jam sehari selain Masjidil Haram. Jutaan manusia tidak henti-henti keluar dan masuk dari sana.
Masjidil Haram


            Kami mengambil keputusan untuk berehat malam itu. Dapat rakan sebilik yang lain. Hotel Anwar Madinah nama hotel yang kami akan tinggal selama sebulan. Agak daif tapi memadailah sebagai tempat berteduh. Subuh keesokan harinya, kami bersama-sama ke Masjidil Haram untuk solat dan menyempurnakan ibadat umrah. Rimas berada dalam ihram lebih lama kerana ada 13 pantang larang yang perlu dijaga. Memasuki Masjidil Haram aku menundukkan kepala. Bimbang di hati tidak akan nampak Kaabah kerana dosaku terlalu banyak. Perlahan-lahan ku angkatkan kepala dan sedikit demi sedikit Kaabah di depan mataku. Allah!! Inilah kiblat yang dihadap oleh umat Islam seluruh dunia. Inilah rumah Allah yang dibina sejak zaman nabi Ibrahim a.s. Perasaan di hatiku tidak dapat digambarkan. Gembira, sedih, tenang, damai dan pelbagai perasaan yang hanya Allah yang tahu.

            Selesai solat Subuh, kami melakukan tawaf mengelilingi Kaabah bersama jutaan manusia lain, bersaie antara Safa dan Marwa dan bercukur. Tamatlah ibadat umrah kami. Sementara menunggu waktu untuk wukuf pada 9 Zulhijjah, tumpuan kami hanyalah melakukan ibadat sebanyak-banyaknya. Kalau di Masjid Nabawi ganjarannya 1000 kali ganda, di masjidil Haram ganjarannya seratus ribu kali ganda. Bilangan jemaah makin hari makin meningkat hinggakan di hari Arafah dikatakan lebih kurang 6 juta umat Islam berkumpul di Mekah. Semuanya dengan tujuan yang sama iaitu haji, pakaian ihram yang sama, niat yang sama, ibadat yang sama sebagai lambang perpadauan umat Islam. Ruang di masjid makin sempit hinggakan terpaksa pergi ke masjid 2 jam sebelum masuk waktu solat. Inilah keindahan Islam. Pelbagai bahasa dituturkan, pelbagai bangsa berkumpul tapi hati tetap pada yang Esa, Allah.

            8 Zulhijjah kami memakai ihram haji dan bertolak ke Arafah. Tempat pertemuan Adam dan Hawa di padang pasir yang tandus adalah tempat untuk wukuf. Di sana, semua jemaah haji berkumpul untuk beribadat dan berdoa kepada Allah. Inilah harinya semua doa akan diperkenankan oleh Allah. Pada malam hari raya kami bertolak ke Muzdalifah dan terus menuju ke Mina. Pelbagai rintangan dan ujian ditempuh sepanjang jalan tapi kesabaran menjadi penyelamat. Betullah kata orang perjalanan ke Mina ibarat perjalanan di Mahsyar. Cubalah pembaca bayangkan sendiri. Berada di Mina selama dua malam, kami melakukan ibadat melontar, manifestasi melontar sifat buruk dalam diri kami. Hidup di Mina sangat kurang selesa. Dengan khemah yang begitu sempit, tandas cuma 20 buah untuk menampung 1,500 jemaah, kesejukan mencengkam ke tulang sum-sum menyebabkan aku mengambil keputusan untuk bermalam di sana selama dua malam sahaja. Pada 12 Zulhijjah kami bertolak pulng ke Mekah. Rasa rindu membuak-buak pada Masjidil Haram bila kami sampai ke Mekah. Kami menghabiskan baki amalan haji iaitu tawaf, saie dan bercukur. Maka sempurnalah rukun Islam kelima kami. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah kerana dapat kami sempurnakan ibadat kami. Hari-hari seterusnya jemaah mulai berkurangan kerana ramai yang bertolak pulang ke tanahair.

            Hati kami yang sebelum ini tidak ingatkan kampung, mula digamit kembali. Mengisi waktu di Mekah kami menziarahi Gua Hira’ (di bawah je), Gua Thur, Jabal Rahmah, Jaaranah, perkuburan Maala, Masjid Jin, Masjid Syajarah dan pelbagai tempat bersejarah lain. Sempat membeli sedikit buah tangan untuk keluarga di kampung. Hari ke-40, hari terakhir di Mekah, kami melakukan tawaf wada’. Air mata mengalir tanpa henti memikirkan bila lagi kami berkemampuan untuk datang ke sini. Selamat tinggal Kaabah. Selamat tinggal Masjidil Haram. Selamat tinggal Mekah. Kami berazam untuk kembali secepat mungkin. Semoga semua doa kami di Mekah dan Madinah diqabulkan oleh Allah dan semoga kami mendapat haji yang mabrur. Pada 16 Januari pukul 9 pagi kami selamat mendarat di lapangan terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu. Alhamdulillah segala puji dan syukur bagi Allah.  

Dalam khemah di Mina

PostHeaderIcon Kalam bermula

Assalamualaikum,
Bismillahirrahmanirrahim
Alhamduillahirabbil'alamin, wassolatu wassalam 'ala sayyidina Muhammad s.a.w

Sejuta kesyukuran akhirnya impian untuk membuat blog tercapai jua. Biarlah apa orang nak kata, ketinggalan atau lapuk atau basi tapi hakikatnya merealisasikan impian ini bukan mudah. Menuntut masa senggang, ketenangan fikiran, line yang jelas dan pelbagai faktor lagi untuk menjadikan impian ini satu kenyataan.

Belajar secara maya, kuharapkan blog ini dapat menjadi seperti yang selalu kugambarkan di alam khyalan. Bimbingan daripada pakar-pakar diharapkan.

Blog ini dibuat untuk berkongsi sedikit ilmu yang Allah SWT anugerahkan kepadaku yang hina ini. Juga untuk menjadi wahana perniagaan kecilku dalam mencari keperluan hidup. Yalah lepas ni aku akan tinggalkan pelanggan-pelanggan setiaku jadi cara terbaik untuk terus mempamerkan hasil produk dengan mereka adalah melalui blog ini. Diharap moga rezeki makin bertambah selepas ini.hehe

Di sini juga aku akan berkongsi isi-isi perkongsian ilmu yang kukongsikan bersama jemaah Masjid Taqwa saban Jumaat. Terima kasih kepada para jemaah yang istiqimah menghadiri perkongsian setiap minggu. Kehadiran anda sekelian menjadi kekuatanku.

Juga akan ku siarkan hasil dapatanku sepanjang 13 tahun menjadi pendidik kepada pelbagai jenis pelajar. Bahan-bahan yang kugunakan samada dihasilkan sendiri atau dipinjam daripada pelbagai sumber yang boleh digunakan dalam kehidupan ini.

Mula-mula ni semangat nak buat macam-macam di blog ini. Moga semangat ini berterusan selamanya. Doakan daku!!!

Bonda tercinta

Bonda tercinta

About Me

Saya suka dengar pendapat anda. Emel kepada saya hilmim99@gmail.com. Dikuasakan oleh Blogger.