Jumaat, 17 Mei 2013

PostHeaderIcon Perjalanan Hajiku 2006

Kelana Jaya


PERJALANAN HAJI : MANIFESTASI IBADAH SEORANG HAMBA

            Semuanya bermula pertengahan tahun 2005. Hidayah Allah, itulah dia. Hati terasa tidak sabar-sabar untuk menunaikan rukun Islam yang kelima iaitu haji. Malangnya hajat untuk pergi pada tahun tersebut gagal. Akhirnya panggilan yang diterima selepas Idilfitri 2006 mengesahkan pemergian kami. Aku bersama isteriku yang tersayang. Kaabah, nantikan kedatangan kami. Rasulullah, rindu ini sudah tidak tertahan lagi untuk menziarahimu.

            Tanggal 4 Disember 2006, tarikh kami bertolak dari Kota Bharu, Kelantan. Barang dibawa ala kadar takut melebihi timbangan tapi penuh jugalah kedua-dua beg campur lagi beg galas. Tak sangka ramai pula yang menghantar di lapangan terbang. Yang menghairankan cuma kami berdua sahaja jemaah haji yang menaiki penerbangan tersebut. Rupanya jemaah lain sudah bertolak ke Kuala Lumpur awal pagi lagi. Sedih rasanya nak berpisah dengan keluarga kerana musafir kami bukanlah musafir biasa tapi musafir ibadah kemuncak dalam rukun Islam. Siapa tahu mungkin ajal kami di sana.
Masjid Jaaranah
Masjid Nabawi

Masjid Nabawi

Masjid Quba'




            Tiba di KLIA seusai jam 9 malam. Disambut petugas Tabung Haji untuk dibawa ke Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya tapi kami terpaksa menunggu hingga 10.30 malam kerana ada beg jemaah yang belum sampai. Awal-awal lagi dah terasa mencabar tapi tidak mengapa, kerana Allah kita mesti berkorban segala-galanya. 11.30 malam sampai di Kelana Jaya. Orang begitu ramai. Sanak saudara yang menghantar tiga kali ganda daripada bilangan jemaah. Kami yang tiada sesiapa di situ mencari-cari kaunter pendaftaran sambil mengheret beg. Banyak pulak hadiah percuma diberi semasa mendaftar terutama air mineral. Separuhnya aku tinggalkan sahaja di situ. Urusan check in dilakukan di Kelana Jaya. Alhamdulillah semuanya mudah walaupun tangkai begku patah.

            Nombor penerbangan kami KT 37 seramai lebih kurang 400 jemaah. Kami dibawa pada jam 2 pagi ke KLIA untuk menaiki kapalterbang diiringi polis peronda. Rasa macam orang besar-besar pulak. Tertidur sekejap di atas bas. Penat tak payah cerita. Penerbangan kami pukul 4 pagi terus ke Madinah al-Munawwarah. KLIA yang biasanya sibuk,  lengang semasa kami sampai. Hati ini tidak sabar-sabar mahu menjejakkan kaki ke Madinah, bumi di mana dimaqamkan jasad Rasulullah s.a.w. Keadaan dalam kapalterbang agak kurang selesa. Dengan ruang duduk yang sempit, lebih-lebih lagi badanku yang terlebih kilo ini agak kurang selesa. Selama 8 jam penerbangan kami langsung tidak tidak berganjak dari tempat duduk. Entah berapa kali tertidur dan terjaga hinggakan rasa tidak mahu lagi naik kapalterbang selepas ini. Tapi tu eksyen saja sebab datang Sabah pun kena naik kapalterbang juga.

            Jam 8.30 pagi waktu Arab Saudi, kapalterbang mendarat di Madinah. Alhamdulillah, akhirnya kami sampai di bumi tercinta ini. Urusan imigresen berjalan lancar. Rasa nak buang air sedari atas kapalterbang hilang bila menjejakkan kaki di bumi Madinah. Suhu ketika itu 15 darjah celcius. Sangat sejuk. Kami dibawa ke bandar Madinah yang merupakan tanah haram bagi orang bukan Islam dengan bas. Sampai di bandar, mataku mencari-cari kubah hijau Masjid Nabawi. Di bawahnya dikuburkan jasad paling mulia iaitu nabi Muhammad s.a.w. Hati terasa pilu dan sayu bila kubah hijau kelihatan di mata. Ya Rasulullah aku datang menziarahimu. Selawat dan salam ke atasmu. Syafaatilah daku di mahsyar nanti. Linangan air mata tidak tertahan lagi. Pada masa itu juga aku rasa ingin ke maqam baginda. Tapi urusan penginapan perlu diselesaikan. Hotel Anwar Movenpick (5 bintang) menanti kami tapi bukan itu tujuan kami. Sebilik 4 orang bersama abang-abang yang baru kukenali hari itu tapi rasanya macam dah lama mengenali mereka. Inilah hikmah ukhuwwah Islamiyah. Isteriku ditempatkan di bilik sebelah.

            Jarak hotel dengan Masjid Nabawi lebih kurang dua minit berjalan kaki. Lautan manusia berpusu-pusu ke masjid untuk solat Zohor  sejam sebelum masuk waktu dan ini boleh dilihat setiap waktu solat. Subhanallah! Inilah suasana umat Islam yang sebenar. Kalau kat Malaysia, lepas azan baru nak bergerak ke masjid.  Melangkah kaki ke dalam Masjid Nabawi, hati terasa cukup tenang, jiwa bergolak aman, nafas dihembus penuh keberkatan. Inilah tempat di mana Rasulullah s.a.w dan sahabat baginda yang telah dijamin syurga menunaikan solat. Bersujud di dalamnya, aku rasakan macam tidak mahu bangkit-bangkit lagi. Ya Allah, banyaknya dosaku, lalainya aku namun aku bersyukur dapat sujud di masjid yang mulia ini. Selepas Asar aku mengikut abang sebilikku menziarahi maqam Rasulullah s.a.w. Sepatutnya jadual ziarah kami keesokan hari tapi kerana rindu yang tidak tertahan lagi, kami beranikan pergi sendiri. Bertolak-tolak, berhimpit-himpit dan berebut-rebut manusia seluruh pelusuk alam ingin mempersembahkan kerinduan mereka pada Rasulullah s.a.w. Assalamualaika ayyuha Nabiyyul karim. Salam dilafaz, hati diserah bulat-bulat, rindu dan kasih padamu ya Rasulullah. Kalau boleh ingin aku berdiri di hadapan maqam baginda berlama-lama tapi situasi tidak mengizinkan. Selepas itu aku menziarahi maqam Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar al-Khattab bersebelahan maqam Rasulullah.

            Hari kedua di Madinah al-Munawwarah, kami dibawa menziarahi Masjid Nabawi. Terngiang-ngiang di telinga seolah mendengar suara para sahabat membaca al-Quran di dalam masjid. Aku cuba memasuki raudhah. Sabda Rasulullah s.a.w : “Apa yang berada di tengah-tengah antara rumahku dan mimbarku ialah taman (raudhah) daripada taman-taman syurga. Berasak-asak umat Islam di raudhah menyebabkan aku mambatalkan niatku. Pada malam itu selepas Isya’, aku pergi lagi ke raudhah. Barulah aku dapat menjejakinya. Aku bersujud di celah-celah umat Islam pelbagai bangsa. Biar terhimpit begitu sekali, hati merasa puas kerana dapat di sujud di taman syurga. Ya Allah golongkan aku sebagai penghuni syurga di akhirat nanti agar dapat ku sujud di taman syurga yang hakiki.

            Pada hari kelima kami dibawa menziarahi tempat-tempat bersejarah sekitar Madinah. Menziarahi Masjid Quba’, Jabal Uhud dan Masjid Qiblatain mengembalikan nostalgia perjuangan Rasulullah dan para sahabat memperjuangkan Islam. Mampukah umat hari ini berjuang seperti mereka? Badanku merasa kurang sihat dengan perubahan cuaca begitu mendadak tapi alhamdulillah ia tidak melarat. Mengisi hari-hari di Madinah, kami istiqamah beribadat di Masjid Nabawi. Siapa mahu lepaskan peluang beribadat di masjid yang sekali solat pahalanya seribu kali digandakan. Hari kesembilan, hari terakhir kami di bumi Madinah. Lepas ni kami akan berangkat ke Mekah al-Mukarramah untuk mengerjakan haji dan umrah. Sebelum berangkat, kami melakukan ziarah wada’. Ya Rasulullah hati ini tidak mahu meninggalkanmu. Entah bila lagi kami berkesermpatan menziarahimu. Semoga Allah memberi kesempatan kepada kami lagi. Amin ya rabbal aalamin.

            Memakai ihram umrah yang merupakan dua helai kain tidak berjahit bagi lelaki, kami meneruskan kembara ibadah ke Mekah. Selepas Zohor bertolak dan singgah di Bir Ali untuk niat umrah. Perjalanan merentasi padang pasir selama 8 jam menginsafkan kami penderitaan hijrah Rasulullah s.a.w dan para sahabat untuk menyelamatkan agama. Keadaan bas yang kurang selesa menginsafkan kami bahawa kita hanyalah hamba yang kerdil. Tengah malam, kami tiba di Mekah. Sekali lagi hatiku meronta-ronta mencari Masjidil Haram dan Kaabah. Kiblat umat Islam seluruh dunia. Sayangnya kerana ini kali pertama kedatanganku, maka aku tidak kenal Masjidil Haram yang menjadi tumpuan umat Islam seluruh dunia setiap masa. Ketika kami sampai iaitu pukul 1 pagi, kelihatan umat Islam berpusu-pusu menuju ke masjid. Subhanallah, Maha Agung ya Allah. Di mana dapat dicari tempat ibadat yang hidup 24 jam sehari selain Masjidil Haram. Jutaan manusia tidak henti-henti keluar dan masuk dari sana.
Masjidil Haram


            Kami mengambil keputusan untuk berehat malam itu. Dapat rakan sebilik yang lain. Hotel Anwar Madinah nama hotel yang kami akan tinggal selama sebulan. Agak daif tapi memadailah sebagai tempat berteduh. Subuh keesokan harinya, kami bersama-sama ke Masjidil Haram untuk solat dan menyempurnakan ibadat umrah. Rimas berada dalam ihram lebih lama kerana ada 13 pantang larang yang perlu dijaga. Memasuki Masjidil Haram aku menundukkan kepala. Bimbang di hati tidak akan nampak Kaabah kerana dosaku terlalu banyak. Perlahan-lahan ku angkatkan kepala dan sedikit demi sedikit Kaabah di depan mataku. Allah!! Inilah kiblat yang dihadap oleh umat Islam seluruh dunia. Inilah rumah Allah yang dibina sejak zaman nabi Ibrahim a.s. Perasaan di hatiku tidak dapat digambarkan. Gembira, sedih, tenang, damai dan pelbagai perasaan yang hanya Allah yang tahu.

            Selesai solat Subuh, kami melakukan tawaf mengelilingi Kaabah bersama jutaan manusia lain, bersaie antara Safa dan Marwa dan bercukur. Tamatlah ibadat umrah kami. Sementara menunggu waktu untuk wukuf pada 9 Zulhijjah, tumpuan kami hanyalah melakukan ibadat sebanyak-banyaknya. Kalau di Masjid Nabawi ganjarannya 1000 kali ganda, di masjidil Haram ganjarannya seratus ribu kali ganda. Bilangan jemaah makin hari makin meningkat hinggakan di hari Arafah dikatakan lebih kurang 6 juta umat Islam berkumpul di Mekah. Semuanya dengan tujuan yang sama iaitu haji, pakaian ihram yang sama, niat yang sama, ibadat yang sama sebagai lambang perpadauan umat Islam. Ruang di masjid makin sempit hinggakan terpaksa pergi ke masjid 2 jam sebelum masuk waktu solat. Inilah keindahan Islam. Pelbagai bahasa dituturkan, pelbagai bangsa berkumpul tapi hati tetap pada yang Esa, Allah.

            8 Zulhijjah kami memakai ihram haji dan bertolak ke Arafah. Tempat pertemuan Adam dan Hawa di padang pasir yang tandus adalah tempat untuk wukuf. Di sana, semua jemaah haji berkumpul untuk beribadat dan berdoa kepada Allah. Inilah harinya semua doa akan diperkenankan oleh Allah. Pada malam hari raya kami bertolak ke Muzdalifah dan terus menuju ke Mina. Pelbagai rintangan dan ujian ditempuh sepanjang jalan tapi kesabaran menjadi penyelamat. Betullah kata orang perjalanan ke Mina ibarat perjalanan di Mahsyar. Cubalah pembaca bayangkan sendiri. Berada di Mina selama dua malam, kami melakukan ibadat melontar, manifestasi melontar sifat buruk dalam diri kami. Hidup di Mina sangat kurang selesa. Dengan khemah yang begitu sempit, tandas cuma 20 buah untuk menampung 1,500 jemaah, kesejukan mencengkam ke tulang sum-sum menyebabkan aku mengambil keputusan untuk bermalam di sana selama dua malam sahaja. Pada 12 Zulhijjah kami bertolak pulng ke Mekah. Rasa rindu membuak-buak pada Masjidil Haram bila kami sampai ke Mekah. Kami menghabiskan baki amalan haji iaitu tawaf, saie dan bercukur. Maka sempurnalah rukun Islam kelima kami. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah kerana dapat kami sempurnakan ibadat kami. Hari-hari seterusnya jemaah mulai berkurangan kerana ramai yang bertolak pulang ke tanahair.

            Hati kami yang sebelum ini tidak ingatkan kampung, mula digamit kembali. Mengisi waktu di Mekah kami menziarahi Gua Hira’ (di bawah je), Gua Thur, Jabal Rahmah, Jaaranah, perkuburan Maala, Masjid Jin, Masjid Syajarah dan pelbagai tempat bersejarah lain. Sempat membeli sedikit buah tangan untuk keluarga di kampung. Hari ke-40, hari terakhir di Mekah, kami melakukan tawaf wada’. Air mata mengalir tanpa henti memikirkan bila lagi kami berkemampuan untuk datang ke sini. Selamat tinggal Kaabah. Selamat tinggal Masjidil Haram. Selamat tinggal Mekah. Kami berazam untuk kembali secepat mungkin. Semoga semua doa kami di Mekah dan Madinah diqabulkan oleh Allah dan semoga kami mendapat haji yang mabrur. Pada 16 Januari pukul 9 pagi kami selamat mendarat di lapangan terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu. Alhamdulillah segala puji dan syukur bagi Allah.  

Dalam khemah di Mina

0 comments:

Catat Ulasan

Bonda tercinta

Bonda tercinta

About Me

Saya suka dengar pendapat anda. Emel kepada saya hilmim99@gmail.com. Dikuasakan oleh Blogger.